Friday, September 25, 2009

Oleh Mohd Azrone Sarabatin
azrone@bharian.com.my

Projek buka peluang industri pemprosesan daging dan susu

KOTA KINABALU: Projek Agropolitan Kota Belud yang bakal dilaksanakan tahun ini akan memberi tumpuan terhadap usaha pembasmian kemiskinan 4,762 rakyat miskin tegar dan relatif daerah di utara Sabah itu secara berperingkat dalam tempoh lima tahun akan datang.

Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Musbah Jamli, berkata mengikut bancian, seramai 3,018 rakyat daerah itu tersenarai dalam Bank Data Kemiskinan Nasional (e-kasih) Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan bakinya 1,744 di bawah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR ) Kementerian Pembangunan Luar Bandar negeri.

Bagi peringkat awal, katanya, seramai 550 orang terpilih sebagai peserta projek Agropolitan Kota Belud meliputi 300 peserta projek lembu tenusu dan pedaging di Kuala Pintasan manakala 250 peserta bagi projek penanaman getah di Kampung Rosok/Surun.

“Bilangan peserta projek akan ditambah dari semasa ke semasa sehingga semua rakyat miskin di daerah itu mampu meraih pendapatan RM1,200 sebulan yang dengan sendirinya bebas daripada status berkenaan dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya kepada Berita Harian di sini, kelmarin.

Pada 19 Mei lalu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, mengumumkan lima projek Agropolitan bernilai RM370 juta akan dilaksanakan tahun ini dan tahun depan melalui program Koridor Pembangunan Sabah (SDC) yang mensasarkan 5,500 Ketua Isi rumah Miskin Tegar (KIRMT).

Katanya, Projek Agropolitan Kota Belud di Kuala Pintasan dan Kampung Rosok/Surun memfokuskan penanaman getah dan penternakan lembu tenusu serta pedaging bernilai RM70 juta di tapak seluas 800 hektar yang akan dilaksanakan tahun ini.

Musbah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tempasuk berkata, selain pembasmian kemiskinan, projek itu turut membuka peluang perniagaan dalam industri pemprosesan daging dan susu lembu untuk dijadikan pelbagai produk, selain fokus terhadap pembekal daging serta rumput ternakan dan pemprosesan getah yang sekali gus menjadikan Kota Belud antara daerah termaju di Sabah pada masa depan.

“Saya harap penduduk Kota Belud memberi kerjasama supaya projek itu berjalan mengikut jadual dan tidak dibatalkan. Penduduk kampung yang diberi kuasa sebagai pemegang amanah tanah rizab padang ragut itu boleh menyertai projek berkenaan sebagai pembekal rumput ternakan serta menternak lembu dan kambing berhampiran tapak Projek Agropolitan,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

About This Blog

  © Blogger template The Business Templates by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP