Tuesday, July 20, 2010

USAHAKAN LADANG KONTRAK ELAK DITIPU PEMBEKAL BENIH.


SIK 20 Julai - Petani di negara ini digalak mengusahakan projek pertanian mereka melalui ladang kontrak dengan ladang-ladang yang berjaya dan mempunyai pasaran tetap bagi mengelak ditipu syarikat pembekal benih yang berjanji mahu memasarkan produk pertanian mereka.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, ramai petani yang dipedayakan syarikat tertentu yang menjual benih tanaman dan berjanji untuk membeli hasil tananam mereka tetapi menghilangkan diri setelah hasil pertanian boleh dituai.

Beliau berkata, ramai petani yang terlibat dalam projek tananam serai dan ubi kayu bagi membuat minyak hitam menanggung kerugian besar setelah syarikat yang membekalkan benih dan berjanji untuk membeli hasil pertanian menghilangkan diri.

"Saya galakkan petani menerima konsep ladang kontrak daripada menjadi mangsa syarikat yang hanya mahu mencari keuntungan segera seperti menjual benih kepada petani dengan membuat janji akan membeli balik hasil pertanian apabila sudah matang tetapi menghilangkan diri apabila hasil pertanian sudah boleh dijual," katanya selepas melawat ladang anggur syarikat Excel Agrotech Sdn Bhd fasa pertama seluas 1.6 hektar di Tasik Beris di sini.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa mencari jalan memastikan golongan petani tidak menjadi mangsa syarikat yang mencari keuntungan segera dengan membuat janji palsu untuk membantu golongan itu.

Noh turut mencadangkan petani di kawasan Sik menjadi rakan ladang kontrak kepada Excel Agrotech jika mereka mempunyai kawasan tanah yang sesuai ditanam dengan anggur.

Beliau turut memberi jaminan pihak Tekun dan Agrobank akan memberi bantuan dan projek yang dijalankan akan dipantau Jabatan Pertanian. - Bernama

Read more...

About This Blog

  © Blogger template The Business Templates by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP