Saturday, December 05, 2009

DOA UNTUK KEBAIKAN DIMAKBULKAN ALLAH.

AL-QURAN memberi pelbagai petunjuk termasuk mengenai akhlak terhadap sesama manusia. Ia bukan sekadar larangan melakukan perkara besar seperti membunuh tetapi turut merangkumi perlakuan seperti memaki-hamun, menyakiti hati orang lain. Mendoakan kemusnahan orang lain juga dilarang oleh agama.

Minggu lalu, umat Islam negara ini dikejutkan dengan telatah seorang yang berpengetahuan luas dalam agama tetapi menyalahgunakan hakikat doa untuk "membalas dendam".

Dengan menggunakan agama dan tuntutan politik peribadi, ada yang sanggup menghancurkan orang lain sama ada melalui kata-kata dan tindakan. Perkara ini amat malang sekali jika diikuti oleh umat Islam lain.

Doa ditujukan kepada seorang pemimpin tertinggi negara kerana tidak meluluskan pemberian wang royalti, sebaliknya menyalurkannya kepada rakyat melalui projek-projek pembangunan.

Seharusnya tokoh agama yang mendapat sanjungan dan penghormatan masyarakat tidak menggunakan kedudukan itu untuk mendoakan kemusnahan orang lain.

Sebagaimana yang diamalkan dalam fahaman Ahli Sunah Wal Jamaah iaitu tidak ada doa bala melainkan memohon supaya mendapat hidayah, atau terbuka pintu hati untuk melakukan kebajikan atau keadilan.

Demikian juga dengan doa para nabi yang berunsur kelembutan dan rendah diri serta untuk kebaikan umat mereka.

Sebagai contoh doa Nabi Musa a.s ketika baginda ditetapkan sebagai Nabi dan Rasul bagi menghadapi Firaun: Tuhanku! Lapangkanlah dadaku dan permudahkan urusanku dan lepaskanlah kekakuan daripada lidahku agar mereka memahami ucapanku. (Surah Taha ayat 25-28).

Seharusnya jika emosi marah sekalipun melingkari setiap tindakan dan minda, sebaik-baik doa yang perlu dilakukan ialah "memohon petunjuk Allah SWT agar dibukakan pintu hati" dan dilembutkan setiap kata-kata semoga keputusan sebelumnya akan berubah dan menyenangkan.

Rasulullah SAW sentiasa berdoa agar lisannya digunakan dalam hal-hal yang baik. Imam Ahmad ibnu Hanbal walaupun pernah dipenjara oleh penguasa (pemerintah) kerana ketegasannya pernah berkata: "Seandainya kita mempunyai doa yang kita ketahui makbul, nescaya kita gunakan mendoakan kepada ketua negara."

"Agama adalah akhlak yang baik dan agama itu ialah engkau tidak boleh marah" (maksud Hadis).

Demikian juga kita tidak dibenarkan mendoakan kemusnahan ke atas orang kafir atau musyrik. Nabi sesungguhnya tidak pernah memohon kebinasaan bagi sesuatu kaum kecuali terhadap mereka yang memerangi umat Islam secara fizikal. Salah satu doa Baginda ialah: Wahai Tuhan berikanlah petunjuk kepada kaumku kerana mereka tidak mengetahui.

Dan Nabi Muhammad SAW sendiri dibangkitkan bukan untuk mengutuk (maksud Hadis). Betapa Rasulullah SAW telah memberikan teladan akhlak mendahului hal-hal yang bersifat ritual.

Bahkan, seorang ahli ibadah tidak ada nilainya di depan Ilahi ketika akhlaknya buruk sebagaimana diriwayatkan tentang orang yang memuji seorang ahli ibadah dan berkata: "Tentulah si polan itu ahli syurga, kerana dia sentiasa solat tepat pada waktunya, puasa sunat tidak pernah ditinggalkannya, setiap malam Jumaat membaca al-Quran dan bangun tengah malam untuk beribadat." Kemudian Rasulullah SAW menjawab: Tidak! Dia ahli neraka! Seluruh ibadahnya hancur, kerana dia mempunyai akhlak yang buruk, suka merosakkan orang dengan lidahnya.

Si polan yang ahli ibadah tersebut, menjadi penghuni neraka kerana ibadatnya tidak menjadi motivasi untuk berakhlak yang baik. Nilai ibadat ritualnya hancur, tidak bererti bagaikan api yang membakar kayu.

Bila akhlak ahli ibadah itu buruk, apalah ertinya bentuk ibadah ritual bila tidak menjadi motivasi untuk menunjukkan cahaya akhlaknya kepada masyarakat.

Berhubung soal akhlak ini Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: Akhlak yang buruk itu merosakkan amal kebajikan seperti cuka merosakkan madu dan seperti api yang membakar kayu bakar. (Riwayat Ibnu Majah).

Sebaliknya, Rasulullah SAW memuji seorang yang memiliki keluhuran budi pekerti, seperti diriwayatkan oleh Ath-Tabrani dari Anas r.a yang menyampaikan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya seorang hamba akan mencapai kedudukan dan darjat yang paling tinggi di akhirat kerana akhlaknya yang baik, walaupun ia lemah dalam ibadah.

Keberkesanan dakwah Rasullullah SAW kerana sentiasa memperkatakan sesuatu secara yang baik, perkataan yang berkesan, jelas dan bermakna, mulia, lemah-lembut, agung serta bersih dan baik-baik. Bukan mendoakan kemusnahan orang lain.

PENULIS ialah Pengurus Penyelidikan,

Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

4 comments:

paikankb December 7, 2009 at 1:10 PM  

salam YB Datuk,

Mohon membaca posting terbaru saya. Terima kasih.

Mohd Amini December 9, 2009 at 2:15 AM  

Salam Datuk,Tok Guru atau Nik Aziz seperti kehilangan pertimbanga apa bila mengeluarkan kenyataan dengan menyeru penyokong Pas mendoakan Perdana Menteri Malaysia Dato Najib Razak ditimpa kebinasaan dalam hidupnya jika sekira royaliti minyak tidak diserahkan kepada kerajaan.Tidak masuk akan bila seorang pemimpin Islam dan bertarf ulamak itu sanggup berkata-kata demikian rupa.

ADUN TEMPASUK December 19, 2009 at 8:41 PM  

Sdr Paikankb...
saya sudah membacanya menarik sekali.

ADUN TEMPASUK December 19, 2009 at 8:44 PM  

Sdr Amini....
begitulah dunia politik macam-macam ada. Yang penting kita perlu berfikir dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

Post a Comment

About This Blog

  © Blogger template The Business Templates by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP