Thursday, July 15, 2010

MAJLIS MAKAN MALAM TERIMA KASIH CIKGU SEMPENA HARI GURU PERINGKAT DAERAH KOTA BELUD 2010

Malam ini saya berada di Dewan Tun Said Kota Belud, menjadi tetamu kehormat dan meraihkan guru-guru di Daerah Kota Belud dalam satu majlis, makan malam Terima Kasih Cikgu Sempena Hari Guru Peringkat Daerah Kota Belud 2010 yang dianjurkan oleh Pejabat Pelajaran Daerah.

Pada tanggal 16 Mei setiap tahun seluruh negara menyambut Hari Guru sebagai tanda penghormatan dan pengiktirafan terhadap jasa dan sumbangan kaum guru. Penghormatan ini amat layak diberikan atas kegigihan guru-guru memberikan segala tunjuk ajar serta mendidik murid-murid untuk menjadi insan cemerlang yang berilmu dan berpekerti mulia. Sesungguhnya tugas dan tanggungjawab seorang guru merupakan tugas yang amat mulia.

Saya ingin mengucapkan ”Selamat Menyambut dan Merayakan Hari Guru” kepada semua warga pendidik. ”Terima Kasih Cikgu” atas segala usaha dan kesungguhan yang telah diberikan dalam melaksanakan tanggungjawab dan memikul amanah rakyat. Saya amat memahami bahawa tugas mendidik merupakan suatu tugas yang berat dan mencabar. Namun begitu, saya percaya cabaran-cabaran ini mampu diatasi dengan kesungguhan dan iltizam yang tinggi.

Saya menaruh penuh keyakinan dan berharap guru dapat memainkan peranan yang penting ini. Selain bertanggungjawab mengajar dan mendidik, guru turut berada di saf hadapan untuk menyemai dan memupuk perpaduan, semangat patriotisme, menyampaikan ilmu pengetahuan dan kemahiran, serta membentuk akhlak dan jati diri murid bagi melahirkan modal insan cemerlang.

Dalam merealisasikan prinsip Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, kita perlu menyediakan akses kepada pendidikan yang berkualiti dan berkemampuan untuk membina kumpulan tenaga kerja yang berpengetahuan, inovatif, kreatif dan berdaya saing. Guru perlu memberikan komitmen yang tinggi untuk memastikan kejayaan pelajar dalam setiap aspek kehidupan mereka. Guru perlu sentiasa meningkatkan ilmu dan kemahiran yang diperlukan sebagai seorang guru untuk membolehkan ia memberikan perkhidmatan yang bermutu tinggi pada setiap masa. Ingatlah bahawa peranan kita sentiasa dinilai oleh masyarakat. Guru juga perlu memelihara akhlak dan budi pekerti supaya guru terus dihormati dan menjadi role model kepada anak didik dan masyarakat. Berkhidmatlah dengan penuh ikhlas. Teruslah berjuang membina negara bangsa kerana Malaysia amat memerlukan khidmat bakti para guru.

Kepada semua guru, sekali lagi saya ucapkan jutaan terima kasih atas segala jasa yang telah tuan-puan sumbangkan. Jasa dan pengorbanan kita akan terpahat dalam ingatan dan akan tetap dikenang sepanjang hayat.

“Selamat Menyambut Hari Guru”












Read more...

About This Blog

  © Blogger template The Business Templates by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP