Sunday, June 13, 2010

TAKLIMAT 1 MALAYSIA PERINGKAT DAERAH KOTA BELUD

Beberapa minggu yang lalu, saya telah merasmikan taklimat 1 Malaysia peringkat daerah Kota Belud yang telah diadakan di Dewan Masyarakat Kota Belud. Programe ini anjuran Jabatan Penarangan Daerah Kota Belud.

Hadir sama dalam majlis ini ialah En Najib Muntok Pegawai Daerah Kota Belud, En Azman Sipan Pegawai Penarangan Bahagian PBU, En Durahim Hj Jaman Pegawai Penarangan Daerah Kota Belud, Ketua-Ketua Jabatan dan Pemimpin-Pemimpin Masyarakat.

Konsep 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh YAB Dato Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri, adalah langkah yang bertepatan dengan suasana dan cita rasa rakyat. Konsep ini selari dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Prinsip-Prinsip Rukun Negara

1 Malaysia membawa aspirasi untuk memperbaiki hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat. Perkara asas yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati, keikhlasan dan sikap saling mempercayai antara kaum. ‘1 Malaysia’ juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat sebagai mana slogan YAB Perdana Menteri iaitu ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’.

‘1 Malaysia’ memerlukan kepimpinan dan rakyat yang berintegriti tinggi. Sifat jujur, berkebolehan, bercakap benar, telus, ikhlas dan amanah amat penting untuk melaksanakan tanggungjawab kepada negara.

1 Malaysia memerlukan pemimpin yang bijak mentafsir dan memahami tugasan yang diberi. Pemimpin cemerlang dan komited sewajarnya memiliki kebolehan yang tinggi dalam merancang, mengatur strategi, menilai prestasi dan menepati masa dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

Kesungguhan dan komitmen terhadap tugas dan tanggungjawab menjadi asas atau senjata paling ampuh dalam mencapai sesuatu kejayaan. Negara memerlukan rakyat yang berdedikasi dan komited untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh iltizam, azam dan tekad demi kepentingan dan kemajuan negara.

Malaysia juga memerlukan pemimpin yang mesra rakyat dan sanggup berkorban masa, tenaga dan kewangan serta mengetepikan kepentingan peribadi demi negara Malaysia. Pemimpin yang bekerja dengan penuh dedikasi dan hati yang ikhlas akan mendapat sokongan dan dihormati oleh semua lapisan masyarakat.

Semua kaum perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri. Negara ini adalah negara untuk semua rakyat, tanpa mengira kaum, agama, budaya serta fahaman politik. Semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati secara bersama. Malaysia adalah negara kita di mana tidak ada masyarakat atau kaum yang akan dipinggirkan daripada menikmati pembangunan dan pembelaan daripada kerajaan.

1 Malaysia adalah pemangkin kepada pengwujudan negara bangsa yang dapat membina Malaysia sebagai negara yang mempunyai sikap kesamaan dan kekitaan di kalangan rakyat. Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai integriti, kebolehan, dedikasi dan kesetiaan.

Pemimpin dan rakyat perlu memahami dan menghayati lapan nilai 1Malaysia, iaitu budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integiti.


Posted by Picasa

0 comments:

Post a Comment

About This Blog

  © Blogger template The Business Templates by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP